Pengajaran berguna buat Kelantan
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankb@utusan.com.my
KOTA BHARU - Pengajaran berguna buat para pemain. Itu kesimpulan yang dibuat oleh pengurus Kelantan, Azman Ibrahim mengulas kekalahan 0-2 Red Warriors kepada Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.
Beliau berkata, barisan pemain harus menggunakan kekalahan itu untuk bangkit pada aksi akan datang.
"Ini satu pengajaran berguna buat pasukan, saya harap pemain dapat jadikan ia sebagai iktibar.
"Kita akan memperbaiki segala kelemahan ini sebelum perlawanan akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Rekod tanpa kalah penyandang juara Piala Malaysia hanya bertahan setakat 180 minit apabila tumbang di tangan Felda United 0-2 dalam aksi ketiga Kumpulan C, kelmarin.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Datuk M.Karathu terpaksa melepaskan teraju kumpulan kepada Felda United dengan perbezaan tiga mata.
Pada perlawanan itu, Kelantan yang mempertaruhkan barisan terkuat gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila dikejutkan jaringan awal Felda United pada minit ke-26 menerusi Faderin Kadir.
Hasrat Kelantan untuk mendapatkan jaringan penyamaan di babak kedua perlawanan tidak kesampaian apabila D. Saavindran meledakkan gol kedua tuan rumah seterusnya menamatkan badi kekalahan Felda United kepada The Red Warriors sebelum ini.
Mengulas lanjut, Azman melahirkan rasa kecewa apabila para pemainnya gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.
"Apa yang saya lihat kita gagal menggunakan peluang yang ada berbanding dengan pihak lawan. Walaupun mereka hanya memperolehi dua peluang, namun ia di manfaatkan sebaik mungkin.
"Hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol. Untuk perlawanan akan datang saya harap pemain dapat menggunakan setiap peluang yang dimiliki untuk menghasilkan jaringan," ujarnya.
Azman berharap pemain dapat melupakan kekalahan kelmarin dan kembali fokus pada perlawanan yang akan datang sekali gus dapat mempertahankan kejuaraan.
No comments:
Post a Comment