Perhatian

Kepada Sesiapa Yang Berkenaan.Sebelum mengambil, mencetak, memfotokopi, memplagiat atau apa sahaja yang sewaktu dengannya diminta anda tinggalkan pesanan, komen atau meminta kebenaran pada setiap bahan yang dimasukkan oleh Admin. Kerjasama anda amat-amat dihargai dan didahului dengan ucapan Terima Kasih

Kedudukan Liga

Showing posts with label Akhbar Kosmo. Show all posts
Showing posts with label Akhbar Kosmo. Show all posts

Monday, April 2, 2012

Kelantan kukuhkan cengkaman

KELANTAN terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super apabila membelasah pasukan di tangga kedua tercorot Felda United 5-1 dalam aksi liga di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.




Kemenangan terbesar yang dicatatkan oleh skuad bimbingan Bojan Hodak itu membuktikan pasukan tersebut mempunyai ramuan lengkap dalam usaha mempertahankan gelaran yang diraih musim lalu.



Tanpa berselindung, jurulatih berusia 41 tahun itu menyifatkan kemenangan besar itu adalah hasil disiplin tinggi yang dijelmakan oleh barisan pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.



Katanya, meskipun pada awalnya dia risau barisan pemainnya akan mengalami kepenatan pada perlawanan tersebut selepas mengharungi ujian getir sebelum ini, namun jangkaannya itu meleset apabila pemain bangkit mempamerkan sentuhan juara.



“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan kemenangan ini dan kita berjaya menjaringkan lima gol. Kita tidak sepatutnya memberikan jaringan kepada pasukan lawan.



“Walaupun bolos satu gol, namun saya tetap gembira dengan persembahan barisan pemain terutama pada babak kedua.



“Jadi saya harap pemain dapat meneruskan persembahan mantap ini kerana kita mahu bergelar juara," ujarnya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan.



Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di gelanggang keramat mereka tidak perlu menunggu lama apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Nwoha Onyekachi.



Gol tersebut hanya bertahan seminit apabila Azrul Ahmad yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.



Nwoha terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol kedua Kelantan dan peribadinya di minit akhir separuh masa pertama.



Bersambung babak kedua, Kelantan terus mengamuk dengan menjaringkan tiga lagi gol menerusi Nor Farhan Mohammad (minit ke-66), Indra Putra Mahyuddin (minit ke-67) dan Mohd. Badri Radzi (minit ke-80).



Mengulas mengenai persembahan Nwoha, pengendali kelahiran Croatia itu menghamburkan pujian kepada pemain tersebut yang telah mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan.



“Seperti yang saya katakan dulu, dia (Nwoha) semakin mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang diharungi.



“Mengenai masa depannya, saya akan jumpa dengan Tan Sri Annuar dan pengurusan dalam beberapa hari lagi, barulah kita akan buat keputusan,” tegasnya - kosmo.com.my



Monday, March 19, 2012

Kelantan tetap sukar digugat

PENYOKONG Kelantan tidak begitu yakin pasukan kesayangan mereka itu akan meraih kemenangan ketika berdepan Perak dalam saingan Liga Super di Ipoh malam kelmarin.




Kebimbangan mereka hadir selepas Kelantan kehilangan tiga tonggak utama iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat dan S. Subramaniam pada perlawanan tersebut.



Ditambah rekod buruk selepas dibelasah Perak 4-0 musim lalu, ia sudah cukup untuk menimbulkan kebimbangan para peminat The Red Warriors sama ada gergasi Pantai Timur itu mampu mengekalkan kedudukan di persada liga.



Begitupun, penyandang juara Liga Super itu berada pada kelas tersendiri apabila membenam Perak 2-0 di hadapan penyokong sendiri hasil jaringan dua pemain pertahanan mereka, Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak.



Gol pembukaan menerusi Daudsu pada minit ke-11 dan Zairul Fitree selang 16 minit kemudian yang kedua-duanya menerusi sepakan percuma sudah cukup untuk meletakkan Kelantan selesa menerajui takhta Liga Super.



Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim menyifatkan kemenangan tersebut adalah rezeki kepada pasukannya kerana kedua-dua gol tersebut dijaringkan berikutan kealpaan penjaga gol pasukan lawan.



Menurutnya, dua jaringan menerusi situasi ‘bola mati’ dan melalui dua pemain pertahanan adalah suatu yang cukup istimewa selain misi membalas hutang lama selepas dimalukan pasukan Perak musim lalu.



“Kemenangan semalam (kelmarin) terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila kita kehilangan Ramzul (Zahini Adenan) yang mengalami kecederaan serius dan kita mungkin terpaksa melupakan khidmatnya untuk satu tempoh yang lama.



“Kita tidak dapat menurunkan pasukan terkuat dalam perlawanan malam semalam (kelmarin) berikutan faktor kecederaan tetapi kita memberi kepercayaan penuh kepada pemain yang disenaraikan dan mereka telah membuktikannya,” katanya.



Tambahnya, selain tonggak utama yang tercedera, Indra Putra Mahayuddin juga tidak beraksi pada tahap sebenar berikutan kecederaan lutut yang dialami selain tidak cergas sepenuhnya.



“Indra beraksi dengan lutut yang berbalut tetapi dia rasa dia boleh main sebab itu kita buat keputusan untuk senaraikan beliau. Jika masih cedera kita tidak akan mengambil risiko,” ujarnya.



Dalam pada itu, Azman turut memuji benteng pertahanannya yang begitu ampuh bertahan mematahkan serangan pasukan Perak untuk mempertahankan kelebihan dua gol yang dimiliki sehingga ke tiupan wisel penamat.



“Kita kehilangan Subramaniam tetapi Obinna (Nwaneri) mengambil alih tugas tersebut dengan baik dan beliau cukup bagus mengetuai barisan pertahanan mengekang asakan pasukan lawan.



“Bagaimanapun, saya mengakui bahawa aksi pada babak kedua agak hambar kerana kita terikut-ikut dengan rentak permainan pasukan lawan. Kita terpaksa settle down selepas Perak mengasak dan akhirnya kita berjaya mempertahankan kelebihan dua gol tersebut,” jelasnya - kosmo.com.my


Friday, March 16, 2012

Piya Tekad Sekat Perak di Ipoh

BADRI tidak mahu kekecewaan berulang di Ipoh apabila Kelantan menentang Perak esok.



KAPTEN Kelantan, Mohd. Badri Radzhi atau Piya mahu menjadikan pertemuan dengan Perak dalam pertemuan Liga Super di Stadium Perak, Sabtu ini sebagai medan terbaik untuk menebus maruah selepas tumbang kepada pasukan berkenaan 0-4 musim lalu.



Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu berkata, peluang beraksi dengan Perak mahu digunakan sebaik mungkin dengan membantu Kelantan meraih tiga mata penuh selepas tidak beraksi ketika pasukan tumbang dalam perlawanan tersebut.


"Musim lalu saya direhatkan gara-gara aksi kurang konsisten dalam perlawanan sebelum itu, sehingga menyebabkan saya hanya memanaskan bangku simpanan dalam pertemuan tersebut.                                                             

"Itu cerita musim lepas, perlawanan Sabtu ini cukup penting buat saya dan rakan-rakan untuk mendapatkan tiga mata, seterusnya menjarakkan kedudukan dengan pencabar terdekat iaitu Lion XII dan Terengganu," katanya kepada pemberita di sini semalam.


Tambahnya, tempoh rehat selama seminggu sudah cukup buat dia dan rakan-rakan sepasukan untuk mengembalikan semula kecergasan selepas mengharungi jadual yang ketat sebelum ini.

Perancangan tengah The Red Warriors itu mengakui pertemuan dengan Perak bukanlah tugas mudah buat dia rakan-rakanya, memandangkan skuad bimbingan Norizan Bakar itu dilihat cukup liat untuk dijinakkan terutama beraksi di gelanggang sendiri.


 Menurutnya, Perak merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai ramai pemain hebat seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Shahrulnizam Mustapha, Shafiq Jamal, dan tonggak import mereka Micheal Kubala.

 Tambahnya, kelibat pemain tersebut perlu diberikan perhatian oleh rakan-rakannya kerana mereka cukup merbahaya sekiranya diberikan banyak ruang pada perlawanan tersebut.

 Walau bagaimanapun, katanya, dia telah bersiap sedia untuk mengharungi ujian getir tersebut dan menuntut rakan-rakan sepasukan untuk menjelmakan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut dengan meriah tiga mata penting.


 "Turun tanpa Mat Yo (Norshahrul Idlan Tahala) dan Subra (S.Subramaniam), saya yakin Kelantan tidak berdepan dengan masalah kerana kita ada ramai pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh mereka.


 "Saya harap rakan-rakan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut. Tanpa Mat Yo jentera serangan Kelantan tidak pincang kerana pemain lain seperti Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Mohammad, S. Chanturu dan lain-lain mampu menjaringkan gol termasuklah Onyekachi Nwoha," ujarnya.


 Mengulas menegenai corak latihan yang di jalankan oleh pengendali kelahiran Croatia Bojan Hodak, Piya berkata dia rakan-rakanya selesa dengan apa yang telah diterapkan oleh jurulatih berkenaan.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan corak latihan di bawah kendalian beliau (Hodak). Bagi saya dia seorang jurulatih yang bagus dan mempunyai kepakaran yang luas dalam bidang berkenaan," jelasnya - kosmo.com.my

Thursday, May 19, 2011

Fokus Liga Super - Karathu

"LUPAKAN seketika saingan Piala FA, sebaliknya berikan tumpuan penuh dalam Liga Super jika mahu terus mencabar kejuaraan musim ini."

Itu pesanan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Felda United di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam ini.

Menurutnya, meskipun masih ada baki tujuh lagi perlawanan untuk diharungi, beliau tetap melaungkan keyakinan pasukannya mampu menjadi juara sekiranya berjaya mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan yang bakal dilalui selepas ini.

"Walaupun dibezakan dengan dua mata dengan pendahulu liga, Selangor, saya tetap tidak akan mengalah dan kita akan terus memberikan tentangan sengit.

"Untuk itu kita perlu fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui dan kita tidak boleh terus keciciran mata dalam perlawanan selepas ini kerana Terengganu sentisa menunggu peluang untuk memintas kita," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Felda United malam ini, Karathu tidak mahu terlalu yakin meskipun mereka pernah membenam Felda 6-0 pada perlawanan pusingan pertama lalu.

Beliau sudah mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.

"Saya yakin Felda United akan turun bermati-matian dalam perlawanan malam esok (malam ini), lagipun semua pemain mereka sudah mendapat rehat yang cukup sebelum menentang kami.

"Jadi saya ingatkan kepada semua pemain saya agar berhati-hati dan tugas penting mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini perlu direalisasikan sebaik mungkin," katanya.

Tambahnya, ini merupakan perlawanan pertama buat pasukannya selepas mengharungi perlawanan berprofil tinggi ketika bertemu Selangor, Selasa lalu.

"Oleh itu saya harap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini dan jangan terlalu dibuai dengan kejayaan menyingkirkan Selangor dalam saingan Piala FA sebaliknya fokus dalam saingan Liga Super" ujarnya.

Thursday, May 12, 2011

FAM perlu ambil tindakan tegas

BENDERA Kelantan (dalam bulatan) dibakar penyokong Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

KELAB Penyokong Siber Bola Kelantan (kelate.net) mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap penyokong bola sepak Negeri Sembilan berhubung insiden membakar bendera Kelantan ketika perlawanan Liga Super di antara kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, tindakan tersebut dilihat cuba menghina pasukan Kelantan dan ia bertentangan dengan semangat kesukanan.

Menurutnya, tindakan tersebut dilihat boleh mencemarkan imej penyokong negeri itu biarpun dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, sewajarnya penyokong bola sepak Negeri Sembilan lebih rasional dan tidak terikut-ikut dengan perasaan sehingga boleh mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua pihak.

“Saya berharap FAM menilai perkara ini secara mendalam kerana ia melibatkan maruah pasukan yang bertanding dan bertentangan dengan prinsip-prinsip bola sepak.

“Siasatan lanjut perlu dilakukan dan sekiranya ia satu kesalahan maka tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya di Kota Bharu semalam.

Mahizi memberitahu, tindakan penyokong tersebut juga merupakan satu provokasi yang mungkin akan dibalas kembali oleh penyokong Kelantan ketika mereka beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV nanti.

Bagaimanapun beliau meluahkan keyakinan bahawa penyokong setia The Red Warriors supaya tidak melatah dengan provokasi ini dan mengekalkan semangat kesukanan serta tidak melakukan perkara yang sama.

“Saya yakin dan percaya penyokong Kelantan sudah matang dalam isu provokasi ini. Apa yang penting tahun ini kita mahu menjadi kelab penyokong terbaik untuk musim ini,” katanya.

Tuesday, April 26, 2011

Pertembungan dua gergasi

Oleh : kosmo.com.my


PERTEMBUNGAN dua musuh baru bola sepak negara, Kelantan dan Selangor pastinya menjadi tumpuan apabila gergasi Lembah Klang itu dijadualkan turun menentang The Red Warriors di Kota Bharu malam ini.

Lebih signifikan, kedua-dua pasukan ini akan turun dengan misi tersendiri terutama Selangor yang sudah pasti mahu menebus semula kekalahan mereka di tangan Kelantan ketika aksi Piala Sumbangsih, Januari lalu.

Kemenangan di Stadium Sultan Muhammed Ke IV Kota Bharu malam ini bermakna Kelantan mencipta rekod bersih ke atas Selangor dalam saingan liga musim ini biarpun mereka bakal berentap dalam aksi Piala FA atau mungkin pada Piala Malaysia nanti.

Sembilan gol yang dicetak Kelantan dalam dua perlawanan menentang Perlis di Kangar dan Kota Bharu tempoh hari mungkin cukup untuk membuktikan bahawa The Red Warriors kini berada pada prestasi terbaik untuk merebahkan siapa sahaja lawan mereka.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu sudah mencongak strategi bagi menghadapi Selangor apabila merehatkan dua tonggak utama, Rizal Fahmi Rosid dan Nurul Azuan Roya pada aksi menentang Perlis, Sabtu lalu.

Khidmat ayam tambatan mereka, Norshahrul Idlan Talaha juga dipendekkan pada perlawanan tersebut apabila dikeluarkan ketika perlawanan berbaki lebih 20 minit bagi memberi mereka peluang untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi persiapan menentang Selangor.

Bagaimanapun, kelibat dua bintang muda dalam pembikinan, Nizad Ayub dab Mohd. Izuan Solehuddin kini sudah mula meniti di bibir para peminat The Red Warriors apabila kedua-dua mereka tersenarai sebagai penjaring pada perlawanan menentang Perlis tempoh hari.

Bagi Karathu, beliau menyedari bahawa perlawanan malam ini cukup sukar untuk pasukannya namun, cukup optimis anak-anak buahnya mampu mengejutkan Selangor bagi mengurangkan jurang kedudukan mata.

"Ini adalah peluang terbaik untuk kita merapatkan jurang mata, ia pastinya perlawanan yang sengit dan saya mahu semua pemain menyedari hakikat itu. Bekerja dan sentiasa bekerja ketika di padang, itu adalah sangat perlu untuk kita mengatasi Selangor.

"Barisan pertahanan perlu lebih bijak mematahkan serangan dan mereka perlu tenang. Jentera hadapan juga perlu lebih pantas, manfaatkan setiap peluang yang ada untuk mencipta jaringan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau masih menaruh kepercayaan kepada ketua pasukan, Badri Radzi yang akan bergandingan bersama Norshahrul Idlan di bahagian serangan dan beliau akan lebih banyak bertindak sebagai pengumpan.

Walau bagaimanapun, cabaran Selangor kali ini bukan sahaja menentang 11 orang pemain Kelantan tetapi jagoan Pantai Timur itu sudah pasti akan menerima suntikan semangat daripada 25,000 penyokong fanatik yang akan menyendatkan stadium keramat mereka.

Justeru, para pemain Selangor dan juga Kelantan perlu membuat persiapan mental paling rapi bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan baik sehingga ke wisel penamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Friday, April 22, 2011

Jangan leka sangat - Karathu


KARATHU (tengah) menganggap pertemuan menentang Perlis malam ini sangat penting.



Ditulis oleh : kosmo.com.my




"JANGAN leka dibuai kejayaan lalu, sebaliknya berikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan."

Demikian ingatan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu kepada barisan pemain yang akan melayan kunjungan Perlis pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Menurutnya, meskipun mencatatkan kemenangan besar ke atas Perlis pada Selala lalu, beliau tetap menganggap pertemuan itu tidak boleh dipandang mudah, sebaliknya mahu pasukan itu berwaspada dengan kekuatan pemain muda skuad Singa Utara itu.

"Memang kita perlu mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan dan juga memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Namun harus diingat, kita jangan bagi ruang kepada mereka untuk bergerak bebas. Saya rasa gol pertama nanti mampu mengubah rentak permainan kita dalam perte- muan ini," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, ini merupakan pelu- ang terbaik buat Kelantan untuk mengutip tiga mata di Kota Bharu dalam usaha meneruskan tekanan ke atas pasukan teratas.

Karathu memberitahu, meskipun beraksi di laman sendiri, beliau mahu barisan pemain meneruskan rentak cemerlang seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan lalu.

"Jadi, pertemuan ini harus dimanfaatkan sebaiknya. Mana-mana pemain yang diturunkan tidak boleh melakukan kesilapan. Saya mahu semua pemain memberikan komitmen terbaik.

"Dalam bola sepak, apabila kita mempunyai tiga peluang dalam satu masa dan salah satu daripadanya berjaya memperoleh gol, itu dikira sudah cukup baik," ujarnya.

Justeru, beliau mahu pemain tampil dengan lebih bernafsu ter- utama ketika berada di hadapan pintu gol lawan.

"Kita mencipta banyak peluang, namun dipersia-siakan. Saya tidak mahu situasi itu berulang. Selain kutipan mata, kadangkala jumlah jaringan gol juga boleh mempengaruhi kedudukan sesebuah pasukan untuk bergelar juara," katanya.

Ditanya mengenai percaturan taktikal bagi menghadapi Singa Utara malam ini, Karathu berkata, beliau sekali lagi bersedia untuk me- nurunkan barisan yang sama ketika aksi di Kangar minggu lalu.

"Semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali S. Chanturu. Keputusan sama ada dia diturunkan atau tidak hanya akan ditentu- kan esok (ini).

"Saya juga sedang memikirkan untuk merehatkan satu dua pemain sekiranya perlu bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor pertengahan minggu depan.

"Kita tengok dulu keadaan macam mana, semuanya bergantung pada situasi semasa. Penting juga untuk kita merehatkan beberapa pemain bagi menghadapi perlawa- nan menentang Selangor yang kita nanti-nantikan selama ini," katanya.

Tuesday, March 15, 2011

Kelantan cari penawar duka

KELANTAN tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas Felda United pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Misi itu dilancarkan selepas Kelantan dikejutkan dengan leburnya rekod tanpa kalah sepanjang 540 minit (enam perlawanan) kepada Pahang dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu,

Kemenangan bukan sahaja diperlukan untuk membangkitkan semula moral pasukan tetapi apa yang lebih penting ialah bekalan jaringan yang selesa perlu dibawa untuk perlawanan timbal balik pada Jumaat ini.

Meskipun aksi kedua akan berlangsung di Kota Bharu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan malam ini.

Menurutnya, kekalahan kepada Pahang tempoh hari perlu dijadikan pengajaran berguna buat pasukan itu untuk tampil lebih bersedia dalam perlawanan seterusnya.

"Saya mahu pemain bangkit dengan semangat baru dan melupakan kekalahan kepada Pahang dan kembali fokus dalam saingan Piala FA malam esok (malam ini). Kita tiada pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Felda United.

"Kemenangan pada aksi pertama cukup penting buat kita dan saya mahu pemain mencari gol sebanyak mungkin sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan kedua," katanya semalam.

Tambahnya, kemenangan yang dilakar pada perlawanan malam ini dilihat akan memberikan kelebihan buat pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bekas jurulatih Perak itu memberitahu, dia turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak mengambil mudah dalam perlawanan tersebut.

"Felda sebuah pasukan yang kuat, jadi kita kena berhati-hati dengan corak permaianan mereka. Mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman dan kemenangan 2-0 keatas Perlis tempoh hari dilihat akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk bertemu kita.

"Mahu tak mahu pemain kena bersedia dengan perlawanan ini. Meskipun saya kehilangan khidmat Zairol Fitree Ishak yang mengumpul dua kad kuning mungkin menjejaskan persiapan pasukan saya," ujarnya.

Jelasnya, untuk perlawanan malam ini beliau sudah mengenalpasti kelemahan yang ada dalam pasukan selepas tewas kepada Pahang.

"Saya akan memperbaiki kelemahan tersebut dan saya mahu pemain yang diturunkan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perlawanan tersebut," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi berkata, beliau yakin rakan-rakan sepasukannya mampu bangkit dan melupakan kekalahan pada perlawanan lalu.

"Untuk perlawanan malam esok (malam ini), saya serta rakan-rakan berjanji akan menggunakan setiap peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol bagi memastikan kita membawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua nanti.

"Saya mahu rakan-rakan melupakan kekalahan dengan Pahang sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan malam esok (malam ini). Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak KAFA," ujarnya.

Kelantan layak ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Johor FC 1-0 pada aksi pusingan kedua dan sebelum itu membenam cabaran T-Team pada pusingan pertama.