Kiasan itu paling tepat untuk menggambarkan rasa kesal Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan atau kelate.net, terhadap sikap segelintir penyokong Kelantan, yang terlibat dalam insiden membakar mercun ketika perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Selasa lalu.
Insiden itu bukan sahaja mengundang persepsi negatif di kalangan orang luar, malahan masyarakat tempatan sendiri bosan dengan sikap kebudak-budakan penonton.
Timbalan Presiden kelate.net, Nik Mohd. Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, tindakan penyokong 'nakal', mencemarkan imej penyokong Kelantan.
"Saya kecewa dan terkilan dengan tindakan tersebut. Ia bukan sahaja mencemar imej penyokong tetapi menyusahkan orang ramai.
"Pada hal penyokong Kelantan tahun ini adalah yang terbaik dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak pernah lagi didenda angkara mercun.
"Kelab ini berharap, jangan diulangi insiden seperti itu yang bukan sahaja menyusahkan mereka yang terlibat, tetapi penonton lain yang lain untuk menyaksikan perlawanan tersebut,'' katanya.
Sehubungan itu, pada perlawanan akan datang, pihaknya menyeru kepada seluruh penyokong setia Red Warriors berkelakuan senonoh dan jangan terlalu ghairah dengan melakukan perkara yang memberi kesan buruk kepada orang lain.
Katanya, pihaknya akan meningkatkan hebahan melalui laman web dan laman sosial kelabnya, untuk mendidik penyokong Kelantan supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
"Kami harap ambil iktibar dengan apa yang berlaku sebelum ini. Bagi saya, tidak berbaloi jika ditangkap atas kesalahan membawa bahan letupan ke stadium kerana ia akan merugikan banyak pihak,'' katanya.
Perkara yang sama turut diluahkan Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Azman Mohd. Noor yang bersetuju dengan kelate.net.
Katanya, tindakan tersebut boleh mencemarkan semula imej penyokong Kelantan yang bersih sepanjang tahun ini.
"Tahun ini kita telah berjuang dan berjaya membuktikan bahawa penyokong di negeri ini antara yang terbaik kerana sepanjang saingan Liga Super, tidak ada letupan mercun kedengaran.
"Namun disebabkan insiden Selasa lalu, ia memberikan kesan buruk, gara-gara segelintir yang berbuat salah, terkena tempiasnya juga kepada penonton lain, umpama pepatah, disebabkan 'seekor kerbau membawa lumpur, terpalit yang lain juga akhirnya,". katanya.
No comments:
Post a Comment