
KOTA BHARU - Jurulatih skuad The Red Warriors, B. Sathianathan mengakui sebelum ini wujudnya usaha untuk menjatuhkan beliau daripada terus mengendalikan pasukan tersebut.
Namun, katanya, perkara itu sudah selesai, apabila pemain Kelantan sudah berjanji untuk berdiri teguh di belakangnya.
Beliau berkata, cubaan menjatuhkan beliau dilakukan oleh mereka yang bercita-cita mahu menjadi jurulatih, tetapi tidak mempunyai kelayakkan.
Kata beliau, usaha itu juga bertujuan untuk merosakkan perancangan pasukan dalam usaha memburu kejuaraan.
Menurutnya, beliau sudah menyedari wujud usaha untuk mensabotaj, serta menyingkirkan beliau daripada pasukan Kelantan, berdasarkan prestasi pemain yang beraksi di bawah keupayaan sebenar, sebelum ini.
"Mereka ini sebenarnya dengki dengan kejayaan pasukan ini, serta tidak senang melihat Kelantan berjaya.
''Perkara yang sama pernah berlaku empat tahun lalu, yang menyebabkan kehancuran pasukan ini. "Namun, masalah ini sudah pun selesai apabila pemain berjanji untuk terus bersama saya.
'' Ini membuatkan saya rasa bangga dan bersemangat," katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan pengurus pasukan, Azman Ibrahim telah memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang cuba untuk menimbulkan 'kekacauan' dalam pasukan tersebut, sehingga menjejaskan pretasi dan tumpuan mereka untuk merangkul kejuaraan musim ini.
Amaran itu dibuat selepas diajukan soalan mengenai timbulnya khabar angin, wujudnya komplot untuk menjatuhkan Sathia daripada menerajui skuad kijang itu.
Sathianathan sebelum ini tidak menolak kemungkinan, bahawa prestasi terumbang-ambing pasukannya sebelum ini ada kaitan dengan masalah ada cubaan untuk menjatuhkan beliau.
Jelasnya, beliau telah menemui kesemua pemain dan berbincang dari hati ke hati.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai wujud 'kumpulan-kumpulan' tertentu di kalangan pemain serta istilah 'anak emas', Sathia memberitahu: "Tiada istilah anak emas dalam pasukan saya, sama ada mereka bintang atau tidak, selagi mereka menunjukkan komitmen terhadap pasukan, saya pasti akan senaraikan pemain itu.
"Pemain perlu profesional, sama ada mereka orang Kelantan atau tidak, selagi mereka menyarung jersi Kelantan mereka perlu bermain dengan baik untuk pasukan yang diwakili," jelasnya.
Justeru itu, beliau yakin Kelantan akan turun dengan semangat baru menjelang pertemuan dengan Pulau Pinang, esok.
Sementara itu, pemain tengah Kelantan, Mohd Badri radzi yang juga bekas ketua pasukan, menafikan wujud perpecahan di kalangan pemain sehingga menyebabkan prestasi mereka tidak menentu.
"Tiada apa yang berlaku sebenarnya, kami semua baik-baik saja dan mungkin nasib belum menyebelahi kami untuk memberikan apa yang diharapkan oleh peminat.
"Apa yang saya lihat ialah pemain tempatan merasa terlalu merendah diri berbanding dengan pemain berpengalaman sehingga membuatkan mereka takut untuk bersaing.
"Saya percaya sedikit masa lagi kami pasti akan kembali ke prestasi sebenar dan pemain-pemain sentiasa bekerja keras untuk tujuan itu," tegasnya.
Beliau juga turut menafikan wujud "tangan-tangan" jahat yang menghasut para pemain untuk menyingkirkan ketua jurulatih mereka.
utusan.com.my
No comments:
Post a Comment