sukan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Kelantan terus membuktikan mereka merupakan kuasa baru sukan bola sepak negara apabila meraih satu lagi trofi menerusi skuad muda, apabila menjulang Piala Presiden selepas mengalahkan MP Muar 2-1 pada perlawanan akhir di sini, kelmarin.
Kejayaan skuad Piala Presiden negeri itu kelmarin merupakan kesinambungan kejayaan skuad senior mereka yang menjulang Liga Super 2011 dan Piala Malaysia tahun lalu.
Perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammed IV menyaksikan Kelantan terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi Mohd. Aris Zaidi, akibat keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti lawan, yang memberikan dia peluang melepaskan rembatan deras yang menewaskan penjaga gol MP Muar, Mohd. Khairul Izzuwan Shaari.
MP Muar bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-23 apabila Mohd. Nor Hakim Hassan menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan.
Kedudukan 1-1 yang berlanjutan hingga berakhir 90 minit, memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Bekas pemain Harimau Muda A, Mohd. Khairul Izuan Rosli muncul wira Kelantan apabila menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-94 untuk memastikan satu lagi koleksi kejuaraan buat Kelantan.
Kejuaraan tersebut membolehkan Kelantan menerima hadiah RM100,000 dan piala pusingan sementara MP Muar pula membawa pulang hadiah RM50,000.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail gembira dengan kejayaan tersebut dan berpuas hati dengan prestasi pemainnya sepanjang perlawanan.
"Kejayaan ini adalah hasil kerja kuat semua pemain dan pengurusan pasukan serta sokongan pada para penyokong.
"Saya amat berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh barisan pemain sepanjang perlawanan.
"Mereka beraksi dengan baik dan menunjukkan disiplin yang tinggi. Walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Zamri Ramli dibuat padang dan perlawanan berlarutan hingga masa tambahan, para pemain tidak mudah hilang fokus.
"Mereka sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment