Perhatian

Kepada Sesiapa Yang Berkenaan.Sebelum mengambil, mencetak, memfotokopi, memplagiat atau apa sahaja yang sewaktu dengannya diminta anda tinggalkan pesanan, komen atau meminta kebenaran pada setiap bahan yang dimasukkan oleh Admin. Kerjasama anda amat-amat dihargai dan didahului dengan ucapan Terima Kasih

Kedudukan Liga

Tuesday, October 12, 2010

Hakikat Belum "Terikat"

Kurang beberapa jam sahaja lagi, kita akan menyaksikan pertembungan menarik dalam saingan Piala Malaysia musim ini apabila dua pasukan terhebat Liga Malaysia, Selangor dan Kelantan akan bertemu untuk membuktikan siapa jagoaan sebenar Liga Malaysia musim ini.

Walaupun baru hanya peringkat suku akhir, namun rata-rata peminat sudah menganggap bahawa perlawanan ini adalah ‘final’ bagi Piala Malaysia musim ini. Bunyinya seakan tidak adil bagi perlawanan di tempat-tempat lain, namun itulah hakikatnya. Dek kerana auranya, maka kita harus mengiyakannya!.

Berbincang soal pertemuan malam esok, ada beberapa perkara menarik untuk dibincangkan di sini. Pasti pertembungan hebat akan menjanjikan banyak signifikannya.
Itulah tradisinya, atas kertas, Selangor akan turun sebagai pasukan pilihan kerana rekod mereka dalam Liga Super dan dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia sungguh mengkagumkan ramai pemerhati bola sepak tempatan kita.

Kelantan pula akan turun sebagai pasukan ‘under-dog’ yang pastinya akan memberikan kelebihan moral kepada seluruh bala tentera pasukan the Red Warriors nanti.
Tapi itu hanya suratan catatan pen di atas kertas sahaja , lain situasinya diatas padang nanti. Apakan tidaknya, kalau diperhatikan kepada harapan menggunung peminat kedua pasukan, maka kedua-dua mereka akan turun sebagai pilihan peminat masing-masing.
Maka kedua pasukan akan merasai tekanan tersebut. Itulah realitinya yang perlu kita fahami baik sebeleh kem Selangor mahupun Kelantan.

Berbicara soal sokongan dari peminat, ini adalah elemen tersangat penting dalam mencorakkan persembahan kedua pasukan.
Siapa tidak kenal dengan penyokong The Red Warriors yang gilakan bola sepak bahkan tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa rakyat Kelantan sanggup buat apa sahaja demi bola sepak dan pasukan mereka.
Duit, tenaga, serta masa kalau boleh ingin diabadikan seluruhnya untuk pasukan. Memang rakyat Kelantan sudah ‘gila’. ‘Gila’ mereka membuka mata seluruh rakyat Malaysia kerana ia pasti tidak terdapat di negeri-negeri lain.

Namun, itu semua ada di Kelantan. Memang mereka unik! Selangor juga tidak kurang hebatnyanya, namun masih lagi boleh diperlekehkan.
Memiliki stadium berkapasiti besar, tetapi hanya sekerat sahaja yang sudi ‘menemani’ setiap inci ruangnya.
Adalah suatu yang sangat jelek untuk diperhatikan. Namun mereka tetap menjadi pilihan lensa kamera RTM atau ASTRO bila setiap kali ada laporan atau berita perlawanan.
Adil ?? sudah tentu tidak, namun itu bukan menjadi hirauan penyokong Kelantan. Yang penting, hasil perlwanan. Itulah semangat yang mengalir dalam darah diri setiap penyokong Kelantan.

Kita alihkan pula tumpuan kepada prestasi kedua pasukan ketika ini. Selangor memang unggul. Menang semua perlawanan dalam peringkat kumpulan dan masih lagi segar dengan kejuaraan liga super milik mereka.
Kelantan pula hanya berbangga dengan gelaran naib juara liga super dan menduduki tempat kedua peringkat kumpulan.

Memang kedua pasukan ini berbeza rekodnya. Cemerlang bagi pasukan Selangor dan rekod agak membanggakan untuk pasukan Kelantan (jika dibandingkan dengan beberapa tahun sebelum ini ).
Cuma pretasi dua perlawanan terakhir Kelantan dengan 4 gol setiapnya menaikkan semula keyakinan peminat. Kita harapkan ia berkekalan…

Perlawanan malam esok akan banyak bergantung kepada barisan serangan kedua pasukan yang diharapkan mampu menjaringkan gol awal.
Kalau kita mahu berakap tentang ‘kunci pergerakan’ perlawanan malam esok, maka jaringan awallah jawapannya. Siapa yang menjaringkan gol terlebih dahulu, maka pasukan itu akan mampu mengawal tekanan kerana bebanan memburu gol sudah pasti dirasai kedua pasukan.
Ini yang perlu Kelantan tekankan kerana mendapatkan gol ditempat lawan adalah ibarat suatu ‘ kemenangan ‘.
Kelantan boleh menarik nafas lega dengan menaruhkan sepenuh kepercayaan kepada individu berjersi no 9 yang sudah kembali kepada sentuhan pembunuhnya. Itulah Nor Shahrul Idlan Talaha yang menjadi harapan merobek ego Selangor malam esok.

Kuota barisan hadapan Kelantan akan pasti diisi penjaring terbanyak kem Kelantan dalam saingan Piala Malaysia setakat ini iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakli yang semakin yakin dengan persembahnnya.
Ini adalah berita yang sangat menggembirakan peminat. Disebelah kem Selangor pula pasti akan mempertaruhkan penyerang yang dipanggil kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan iaitu Safee Sali disamping R. Surendran atau Rudie Ramli. Kawalan lebih harus menjurus kepada penyerang harapan mereka Safee Sali kerana sedikit kealpaan , parah dibuatnya.

Barisan tengah pula dilihat seimbang dengan kedua pasukan meletakkan pemain berpengalaman dan selalu menjadi pilihan kedua jurulatih. Kelantan dilihat pasti menurunkan arkitek mereka yang sudah kembali dari sentuhan berkaratnya, Badhri Radzi ( piya ).
Beliau akan dibantu oleh pemain yang mempunyai kawalan bola yang menarik Shakir Shaari yang bertindak sebagai tengah bertahan manakala larian disebekah sayap pula akan mempertaruhkan Indra Putra Mahayudin disebelah kiri dan Nor Farhan disebelah kanan.

Selangor pula akan meletakkan ariktek kreatif mereka Amri Yahya dibantu pemain yang mengecewakan pasukan Korea Selatan dalam aksi persahabatan tempoh hari iaitu Syafiq Rahim serta Amirul Hadi dan Mohd Hardi Jafar. Berhati-hati dengan kelincahan Amirul Hadi kerana pemain inilah yang hamper mengecewakan kita dalam saingan Liga Super lepas. Barisan pertahanan pastinya akan terus diisi oleh Azizi Mat Rose , Rizal Fahmi, Zairul Fitri dan Farisham Ismail atau Daudsu Jamaluddin.

Kebijaksanaan dan kepakaran dua jurulatih berpengalaman iaitu B.Sathianathan dan K. Devan pasti ditagih. Merekalah yang akan menentukan hala tuju corak permainan kedua pasukan. Taktikal mereka berdua pasti akan diuji malam esok dan yang akan merealisasikan taktikal yang dirancang tidak lain tidak bukan adalah pemain kepercayaan mereka nanti. Kita sama nantikan.

Kita menanti pertembungan tersebut. Menang atau kalah, adat pertandingan. Yang penting, usaha dan terus usaha. Payah dan sememangnya payah untuk ditandingi. Fahami situasi ini dahulu sebelum kita meneka keputusan pertembungan nanti. Namun, bukan niat saya untuk menidakkan kemampuan pasukan kita, tetapi hakikat tetap hakikat! Cuma hakikat belum lagi ‘ terikat’!!. Masih lagi boleh digugat !!

Dengan semangat yang kuat! Kita tidak mahu mencampakkan kain putih awal-awal ke padang tanpa kita terlebih dahulu kibarkan bendera merah, bendera perang kita! Kibarkan bendera perang kita! Perang tetap perang ! Jentera harus dipersiapkan selengkap mungkin buat menyediakan barisan perang yang ampuh bertahan dan gila bila menyerang! GOMO KELATE GOMO !

Oleh : Nik PMK

No comments: