Perhatian

Kepada Sesiapa Yang Berkenaan.Sebelum mengambil, mencetak, memfotokopi, memplagiat atau apa sahaja yang sewaktu dengannya diminta anda tinggalkan pesanan, komen atau meminta kebenaran pada setiap bahan yang dimasukkan oleh Admin. Kerjasama anda amat-amat dihargai dan didahului dengan ucapan Terima Kasih

Kedudukan Liga

Monday, October 11, 2010

Ayuh Kita Gegarkan Stadium Shah Alam

Alhamdulillah, debaran penyokong Kelantan untuk melihat pasukan kesayangan mereka menempatkan kaki ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2010 akhirnya tercapai jua selepas berjaya menumpaskan pasukan KL Plus dengan jaringan 4-0 di Stadium MBPJ Kelana Jaya semalam.

Lautan manusia berbaju merah memenuhi separuh daripada kapasiti maksimum stadium tersebut membuktikan penyokong setia dan fanatik The Red Warriors tetap berdiri teguh di belakang pasukan kesayangan dalam apa jua keadaan dan situasi.

Bermacam ragam serta imej ditonjol mengambarkan kemeriahan sebenar dunia bola sepak Kelantan yang mungkin agak dicemburui oleh pasukan lain.

Perjalanan Kelantan ke suku akhir yang diperingkat awalnya diletakkan sebagai antara pasukan pilihan untuk menjulang piala berprestij di negara kita ini agak mendebarkan degupan jantung para peminat setianya.

Bermula dengan kekalahan kepada Negeri Sembilan di perlawanan pertama serta satu ketika berada di tangga ketiga peringkat kumpulan dan nyaris diaibkan serta bangkit pada perlawanan terakhir menjadikan perjalanan pasukan ini penuh dengan warna warni.

Ranjau untuk menjejak kaki ke perlawanan akhir sekali lagi mengulangi pencapaian musim lepas mungkin agak rumit apabila menduduki tangga kedua peringkat kumpulan serta terpaksa berhadapan dengan gergasi merah di Stadium Shah Alam pada selasa nanti akan menguji sepenuhnya peningkatan yang telah ditonjolkan oleh pasukan Kelantan pada dua perlawanan terakhir sebelum ini.

Sememangnya lonjakan ketara peningkatan prestasi semasa yang dipamerkan kini adalah sangat tepat pada masanya bagi memberi keyakinan kepada pasukan menumbangkan gergasi merah digelanggang kebanggaan mereka.

Bagi saya untuk menjadi juara, kita seharusnya tidak gentar berhadapan dengan mana-mana pasukan sekali pun, samada di peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir dan di pertandingan akhir sekali pun kita tetap akan berhadapan dengan pasukan yang hebat sebelum membolehkan kita digelar yang terbaik diantara yang terbaik.

Namun pertembungan Kelantan dengan Selangor mempunyai nostalgianya yang tersendiri dan tidak keterlaluan sekiranya diibaratkan perlawanan akhir yang diperawalkan. Ini adalah disebabkan jumlah penonton yang mungkin bakal membanjiri stadium bagi perlawanan tersebut nanti adalah seperti kapasiti perlawanan akhir.

Di negara kita kini, kedua pasukan ini adalah antara mempunyai bilangan para penonton yang ramai setiap kali perlawanan yang melibatkan pasukan tersebut dan tidak mustahil sekiranya para penonton akan memenuhi sebahagian besar Stadium Shah Alam yang berkapasiti lebih kurang 80,000 tempat duduk.

Diharapkan pihak pengurusan Stadium Shah Alam akan dapat berlaku adil dalam pembahagian tempat duduk pada perlawanan tumpuan selasa nanti. Kebanjiran bilangan penyokong Kelantan pada setiap perlawanan di tempat lawan seharusnya diambilkira dalam memperuntukan bilangan tempat duduk kepada penyokong lawan, janganlah peristiwa seperti yang berlaku di stadium yang sama pada perlawanan Selangor menentang Kelantan di peringkat liga super yang lepas berulang kembali.

Kepada The Red Warriors, teruskan persembahan yang terpuji dua perlawanan sebelum ini. Keyakinan, keserasian, kepantasan serta keberkesanan tektikal yang diatur seperti perlawanan lepas amatlah ditagih serta diteruskan untuk perjuangan seterusnya.

Ayuh para peminat setia The Red Warriors, kita turun beramai-ramai membanjiri Stadium Shah Alam selasa nanti. Sesungguhnya pasukan kesayangan kita ini amat menagihkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada kita semua yang diibaratkan pemain ke-12 dalam pasukan.

Marilah kita sama-sama memerahkan Stadium Shah Alam, buangkan sikap negatif yang dilabelkan segelintir pihak kepada kita semua. Kita buktikan kepada semua bahawa para penyokong The Red Warriors merupakan yang terbaik, berdisiplin serta contoh kepada semua seiring dengan kehebatan pasukan kesayangan kita semua.

Gomo kelate gomo...

dipetik dan diedit daripada : http://kamikazie-malaya.blogspot.com

No comments: