Oleh : MieyKelantan
mieykelantan@gmail.com
KOTA BHARU- Kelantan meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan seteru tradisi Terengganu 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam semalam.
Dibantu sorakkan hampir 25,000 peminat setia, tuan rumah bermain secara menyerang sebaik sahaja wisel dibunyikan oleh pengadil perlawanan Mohd. Yusof Mat Karim.
Kelantan tidak menunggu lama untuk berada dihadapan pada minit ke-28 permainan apabila ketua pasukan pelawat Mohd. Marzuki Yusoff tertolak bola kegawang sendiri untuk memberikan gol pertama buat tuan rumah.
Gol tersebut berpunca akibat kesilapan ketua pasukan pelawat yang gagal mengawal kemas bola lantunan penyerang Kelantan Nor Shahrul Idlan Talha untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.
Selang dua minit kemudian, ketua pasukan Kelantan Indra Putra Mahyuddin menambah derita pelawat apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke 30 selepas berjaya melepaskan satu sepakan kencang dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Mohd. Sarbinee Alawee.
Minit ke-36, Stadium Sultan Muhammad Ke IV kembali bergegar apabila penyerang sensasi Kelantan Nor Shahrul Idlan menjaringkan gol ketiga tuan rumah selepas berjaya meyempurnakan sepakan penalti.
Bersambung babak kedua, pelawat cuba mengimbangi perlawanan apabila membuat dua pertukaran awal. Hasilnya mereka hampir-hampir berjaya merapatkan jurang gol namun digagalkan oleh ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol utama Kelantan.
Kelantan hampir berjaya menambah jaringan menerusi pemain sayap lincah Mohd. Nor Farhan Muhammad namun cubaanya pada minit ke-68 sedikit sahaja melewati palang gol Terengganu.
Kemenangan ini menyaksikan Kelantan meneruskan tekanan keatas pendahulu Liga Super Selangor yang hanya dipisahkan dengan 5 mata sahaja, namun kelebihan masih berpihak kepada juara bertahan itu yang masih kekurangan satu perlawanan.
No comments:
Post a Comment