KOTA BHARU - Impian rakyat Kelantan untuk memiliki stadium bola sepak yang lengkap dengan kemudahan menghampiri kenyataan selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Casamesra Sdn. Bhd. dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Melalui MoU tersebut, Casamesra diberi hak membina stadium tersebut
dianggarkan berharga RM300 juta di atas tanah milik Sultan Kelantan,
Sultan Muhammad V seluas lapan hektar di Tunjong dekat sini.
Memorandum itu ditandatangani Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa
manakala Casamesra diwakili Pengarahnya, Azhar Mustapha dalam satu
majlis yang berlangsung di sini, semalam.
"Kita perlu usahakan pembinaan stadium ini. Kita nak wujudkan KAFA
sebagai satu pasukan yang lengkap, punyai rumah sendiri. Kita nak bina
stadium ratusan juta sudah tentu tak mampu.
"Jadi, bila Tuanku (Sultan Muhammad V) perkenan tanah di Tunjong,
kita tidak mahu lepaskan peluang tersebut. Casamesra telah diberikan hak
oleh Tuanku Sultan untuk majukan sebahagian tanah milik baginda yang
mahu dibangunkan bandar Diraja Tunjong.
"Mereka (Casamesra) perlukan tuan rumah kepada stadium itu. Jadi,
hari ini (semalam) KAFA buat MoU mengatakan kita sanggup untuk jadi tuan
rumah kepada stadium ini seperti Stadium Emirates, tuan rumahnya ialah
pasukan Arsenal," katanya di sini, semalam.
Menurut Annuar, KAFA hanya menjadi pengurus dan mengendalikan stadium sahaja.
"Saya ingin rayu kepada kerajaan supaya memberikan kelulusan segera
untuk urusan pembinaan kerana tanah dah ada, Tuanku dah berkenan, reka
bentuk dah ada. Selain itu, sudah ada pihak yang sanggup mengeluarkan
belanja untuk menguruskannya. Segalanya dah ada jadi saya harap ia dapat
disegerakan," katanya.
Beliau memberitahu, peringkat awal Casamesra mencadangkan pembinaan
stadium dengan kapasiti 40,000 penonton, tetapi pihaknya telah membuat
perundingan supaya saiznya dikecilkan kepada 30,000 orang sahaja.
"Kita rasa kapasiti 30,000 adalah jumlah yang sesuai dengan bilangan
penyokong dan kos pengurusannya yang tidak terlalu tinggi. Selain itu,
kita tidak mahu projek ini menjadi projek gajah putih dan KAFA mahu
stadium ini merupakan stadium yang dinamik," ujarnya.
No comments:
Post a Comment